GALA ULANG TAHUN KE-60 MACEE RAI DIPLOMASI PENDIDIKAN MALAYSIA-AS

GALA ULANG TAHUN KE-60 MACEE RAI DIPLOMASI PENDIDIKAN MALAYSIA-AS

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) — Amerika Syarikat (AS) berharap dapat memupuk perkongsian pendidikan tinggi yang lebih mantap dengan Malaysia pada tahun-tahun akan datang, terutamanya melalui Program Fulbright yang berprestij, kata Kuasa Usaha (Charge d’Affaires) Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Manu Bhalla.

Beliau berkata pertukaran akademik telah memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan antara AS dan Malaysia.

Manu menyatakannya pada sambutan gala ulang tahun ke-60 Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE) bagi memperingati perkongsian kukuh dalam pendidikan antara kedua-dua negara, yang diadakan di sini, Sabtu malam.

MACEE diasaskan pada 28 Jan 1963 melalui perjanjian yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dan AS untuk menggalakkan pertukaran pendidikan dan kebudayaan antara kedua-dua negara, khususnya melalui Program Fulbright.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia Prof Dr Azlinda Azman berkata Program Fulbright yang diuruskan MACEE berpotensi menjadi pemacu utama kepada cita-cita Malaysia dalam bidang pendidikan digital dalam pengajian tinggi.

Ia juga dapat memainkan peranan penting dalam mengemudi usaha penyelidikan kolaboratif ke arah teknologi dan inovasi.

“Dengan menerapkan pendekatan ini secara aktif, MACEE berpendirian untuk memberikan sumbangan besar kepada matlamat menyeluruh Malaysia untuk memperluaskan kebolehcapaian pendidikan, meningkatkan kualiti pendidikan dan melengkapkan tenaga kerjanya untuk era digital.

“Dengan berbuat demikian, ia akan mengukuhkan lagi perkongsian dan kerjasama antarabangsa dalam landskap pendidikan tinggi,” katanya pada majlis makan malam itu.

Sebanyak 13 Memorandum Persefahaman (MoU) yang menekankan kepada inisiatif kerjasama masa depan turut ditandatangani pada majlis itu.

Menurut laman web MACEE, sejak penubuhannya, lebih 1,000 rakyat Malaysia telah dihantar ke AS di bawah Program Fulbright. Selain itu, lebih 2,000 penerima geran AS telah menyertai program tersebut di Malaysia.

— BERNAMA

Source: GALA ULANG TAHUN KE-60 MACEE RAI DIPLOMASI PENDIDIKAN MALAYSIA-AS – Malaysian Daily News