Program ETA berjaya tingkat kemahiran, penguasaan Bahasa Inggeris

By October 16, 2019 Fulbright News

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama Raja Pemaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli melawat ke pameran pada Majlis ”Fullbright English Assistant (ETA) Pahang State Level Showcas” di Hotel Zenith, Kuantan. NSTP/Muhd Asyraf Sawal

KUANTAN: Sejak diperkenalkan kira-kira 13 tahun lalu, Program Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris (ETA) berjaya meningkatkan kemahiran dan penguasaan bahasa berkenaan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah di negara ini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, selain membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris, program itu juga membantu mempereratkan hubungan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

“Pendekatan bidang pendidikan ketika ini sudah berubah, seiring perkembangan teknologi dan peredaran semasa. Ia (pendidikan) bukan lagi sekadar bermula ketika anak kita berusia tujuh tahun dan berakhir selepas mereka menamatkan persekolahan peringkat menengah.

“Pelajar hari ini bukan lagi terikat dengan apa yang mereka belajar dalam kelas, tetapi mereka dilatih supaya memiliki daya pemikiran kritis, bijak menganalisis maklumat diperoleh dan pandai mengaplikasi ilmu yang mereka pelajari dalam kehidupan seharian.

“Walaupun negara kita kecil dibandingkan negara lain di dunia, tidak bermakna kita patut rasa terpinggir atau terasing… kita perlu mengambil peluang disediakan dan menguasai bahasa Inggeris bagi memudahkan kita meneroka hubungan dengan negara luar,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Fullbright Program ETA Peringkat Pahang di sini, hari ini.

Yang turut mengiringi Baginda, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan Duta Besar AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdir.

Tunku Azizah turut menegaskan bahawa penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah dan generasi muda tidak akan menjejaskan jati diri sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai nilai kebudayaan tinggi.

Titah Baginda, sebaliknya penguasaan bahasa Inggeris memberi nilai tambah dan meningkatkan keyakinan untuk berdepan dengan pelajar dari negara luar, seterusnya dapat meningkatkan imej serta nama negara di persada antarabangsa.

“Kejayaan program ini sudah pasti tidak dapat dilakukan tanpa jasa dan pengorbanan guru yang terbabit secara langsung atau tidak langsung.

“Mereka (guru) inilah yang banyak berkorban masa untuk memastikan anak-anak kita mendapat akses kepada peluang pendidikan yang terbaik… jadi, mereka (guru) bukan saja layak menerima ucapan terima kasih, tetapi patut mendapat sokongan penuh dan penghargaan daripada kita semua,” titahnya.

Terdapat 100 program ETA melalui kerjasama Suruhanjaya AS-Malaysia mengenai Pertukaran Pendidikan (MACEE) dan Kementerian Pendidikan, membabitkan sembilan negeri, dengan pelajar di 14 sekolah di Pahang turut mendapat akses kepada program berkenaan.

*Extracted from https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/10/617560/program-eta-berjaya-tingkat-kemahiran-penguasaan-bahasa-inggeris/amp