KPT terus galak pertukaran pendidikan dengan AS

KPT terus galak pertukaran pendidikan dengan AS

Mohammad Yusof Apdal

Putrajaya: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan terus menyokong aspirasi murni Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menerusi Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE) dalam usaha mengukuhkan persefahaman dan menggalakkan pertukaran pendidikan antara kedua-dua negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, ini kerana pendidikan tinggi memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat serta dalam usaha untuk terus meningkatkan ilmu pengetahuan.

“Malaysia sebagai sebuah negara yang mengejar objektif menjadi hab kecemerlangan pendidikan perlu mempertimbangkan proses internalisasi secara strategik.

“Selain itu, pemikiran yang teliti perlu diberikan dengan mengambil kira kesan globalisasi yang meletakkan nilai tinggi kepada ekonomi pengetahuan.

“Oleh itu, kita perlu mengambil kesempatan daripada pertukaran ilmu antara kedua-dua negara dan permintaan dalam pendidikan tinggi melalui mobiliti individu yang mencari pendidikan tinggi berkualiti dan perkongsian ini sudah pasti membantu merealisasikan aspirasi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Persidangan MACEE Ke-60 di KPT di sini, hari ini.

Hadir sama Duta AS ke Malaysia Brian D McFeetrs dan Pengarah Eksekutif MACEE Curtis Johnson.

MACEE yang diasaskan pada 1963 menawarkan biasiswa Fulbright Malaysia bagi mengikuti program pengajian di Amerika Syarikat menerusi 12 program pengajian yang ditawarkan kepada warga Malaysia termasuk tiga program untuk warga AS dan setiap tahun seramai 35 pemohon terpilih menerima biasiswa itu.

Mengulas mengenai penambahan jumlah pemohon, Mohammad Yusof berkata, jumlah sedia ada sudah memadai namun jika ada keperluan pihaknya tiada masalah mengadakan perbincangan untuk menambahnya pada masa akan datang.

“Saya amat berterima kasih kepada Kedutaan AS yang mana selama ini kita dapat mengadakan kerjasama yang berjaya terutama dalam usaha memberikan pendedahan kepada pemohon berkenaan ilmu tambahan dan pengalaman dan amat berharap usaha sama ini dapat diteruskan,” katanya.

McFeeters berkata, pihaknya amat menggalakkan warga Malaysia memohon biasiswa itu supaya mereka mendapat manfaat menerusi program akademik dan penyelidikan yang ditawarkan di universiti di AS.

Katanya, ketika ini sudah hampir 1,000 warga Malaysia mendapat manfaat daripada biasiswa itu, manakala 2,000 warga Amerika ke negara ini untuk melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi.

“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana memberikan komitmen berterusan untuk mengukuhkan kerjasama dalam perkongsian pendidikan ini.

“Malah, biasiswa Fulbright ini dilihat amat berkesan dan berjaya untuk kedua-dua negara bukan sahaja dalam pertukaran pendidikan tetapi juga dalam kebudayaan menerusi program pertukaran pelajar,” katanya.

Sementara itu, Johnson berkata, MACEE amat berbesar hati dengan perjanjian binasional antara Malaysia dan Amerika Syarikat hingga berjaya berkongsi pencapaian baru menerusi ‘diplomasi pendidikan’ antara dua negara berkenaan.

“Kejayaan selama bertahun-tahun bagaimanapun tidak mampu dicapai jika tiada kerjasama binasional dan diharap kejayaan ini dapat dicapai secara berterusan pada masa hadapan,” katanya.

Disiarkan pada: Februari 9, 2023 @ 1:54pm